Search This Blog

Monday, March 3, 2008

Correspondence in Malay between Al-Malizi and Saifulislam

Abu Hurairah Al-Malizi
Dr MAZA hanya luahkan pandangan-pandangannya berdasarkan akidah dan manhaj yang sahih Rasulullah dan para sahabat. Boleh jadi selari dengan UMNO dan bertentangan dengan PAS secara tidak sengaja. Namun, dia hanya luahkan kebenaran berdasarkan kedudukannya sebagai alim dari manhaj sahih (salaf) tersebut.
Saya lihat 'kanser' utama yang menimpa kebanyakan para Islamis ialah taksub kepada jemaah masing-masing; kanser 'hizbiah' ini jika dibenarkan berleluasa boleh mencemarkan niat ikhlas para Islamis, dan akhirnya mereka berjuang semata-mata hendak tegakkan jemaah masing-masing dan kedua baru untuk ummah.
Sebelum kita menjadi 'ummah-centric' atau 'jamaah-centric' elok kita bertanya dulu sama ada kita sendiri sudah menjadi 'tawhid-centric' atau belum; ini amat penting kerana Tauhid misi utama semua Anbiya, misi paling utama mereka sebelum lagi Khilafah Islamiah. Ia satu-satunya misi bagi kebanyakan anbiya, yang tidak ditugaskan Allah untuk menegakkan Kerajaan Islam. Bukan semua nabi disuruh menegakkan Daulah Islamiah!
Penegakan Daulah Islamiah hanya bertujuan memudahkan penegakan Tauhid di seluruh muka bumi. Ia hanya alat, dan bukan matlamat kita.
Lagi sekali penegakan Tauhid ini juga mesti dibuat selaras dengan pembersihan nas-nas Islam (hadis-hadis) daripada penyelewengan golongan-golongan sesat seperti Syiah. Imam Al-Albani memanggil proses ini ‘Tasfiyyah dan menganggapnya satu kemestian sebelum ibadat-ibadat lain termasuk jihad dan menegakkan Negara Islam itu sendiri!
Mereka yang kafirkan para sahabat juga berjihad dan berpolitik, dan sekarang berjaya mendirikan Republik Islam mereka sendiri di Iran. Mereka ada Negara Islam sendiri tetapi mengkafirkan Abu Bakar dan Umar!
Jadi setelah kita menjadi ‘Tawhid-centric elok kemudian kita kaji semula amalan-amalan agama kita sama ada benar-benar Sunnatik atau bercampur-baur dengan bidaah dan khurafat.
Setelah kukuh itu, kita mesti kaji juga manhaj para Sahabat dalam menegakkan Islam. Adakah mereka sibuk sebarkan kelemahan-kelemahan para pemimpin di mimbar atau sibuk mengembangkan Din hingga tiada lagi fitnah? Kelemahan para pemimpin boleh dibincangkan tapi jangan dijadikan obsesi seolah-olah itu aktiviti utama Islamis dalam menegakkan Tauhid.
Dr MAZA jika dikaji secara mendalam seorang yang alim, dan saya sedih orang tolak dia bulat-bulat tanpa kaji manhaj sebenar para sahabat itu sendiri.
Manhaj kita sudah bercampur-baur antara Salaf dengan Khawarij dan Syiah serta pendekatan Islam fasis dan modenis.
Saya sedang meneliti perkembangan Syiah dalam PAS dan ia sedang berkembang, orang-orang seperti Tehrani dan Sabu sudah cukup sebagai bukti. Ini satu perkembangan yang amat merisaukan!
Dajjal nanti akan muncul di kalangan Syiah, dan dengan berkembangnya Syiah dalam PAS, satu perkara yang perlu kita fikirkan.
Oleh itu larilah kepada akidah dan manhaj para salaf sebelum menegakkan aspek-aspek lain dalam Islam. Ini yang dilakukan Syeikhul Islam Ibnu Taimiah dan ini yang patut saya rasa kita para Islamis, Sunni dan bukan Sunni buat!

Saifulislam
1. Terima kasih atas komen saudara. Keikhlasan saudara jelas terpancar pada bait-bait yang diungkapkan, dan semoga Allah mengganjarinya.
Saya bersama SS Dr. MAZA membina manhaj jauh sebelum beliau bergelar doktor dan mufti. Pandangan saya sangat terkesan oleh apa yang saya tahu beliau tahu.
Tidakkah kita pernah cuba membayangkan apa yang telah dan sedang dibuat oleh PAS terhadap isu syiah? Tidakkah ada kemungkinan di sana ada pelbagai usaha yang dilakukan oleh PAS untuk menangani hal ini? Saya lontarkan soalan ini kepada yang melihat PAS dari luar, tetapi bagi Dr Maza yang pernah melihat dari dalam, tentunya beliau lebih faham.
Figure seperti Muhammad Sabu mempunyai kekuatan yang cukup untuk beliau bergerak sendiri dan membina pengaruh sendiri. Tidakkah kita pernah terfikir bahawa Muhammad Sabu yang ada sekarang adalah Muhammad Sabu yang berada di dalam lingkungan nasihat dan kawalan pimpinan tertinggi PAS, berbanding membuangnya keluar dan beliau bergerak sendiri? Muhammad Sabu bukan tokoh sehari dua ini. Dia sudah menjadi hardcore PAS sejak sekian lama. Bandingkan pengaruhnya pada tahun 90an (tahun Dr Maza masih di dalam PAS) dengan beliau sekarang? Apakah tidak ada perubahan? Jika ada, dari manakah datangnya perubahan itu?
Tetapi seolah-olah Dr Maza masih merujuk kepada Muhammad Sabu tahun 1995, PAS tahun 1996. Mengapa? Apa implikasinya semua ini? Saya lontarkan semua ini supaya kita fikir.
PAS bukanlah terdiri daripada wajah-wajah yang memusuhi dr maza dan yang dimusuhi dr maza semasa beliau di dalam PAS. PAS adalah sebuah badan yang mempunyai keahlian mencecah hampir 1 juta orang! Ia bukan suatu yang untuk dibanggakan, tetapi terbayangkah anda betapa sulitnya untuk PAS menyeragamkan ahlinya dengan satu manhaj, satu fikrah, satu suara, satu baju, satu serban?
Sebahagian ahli PAS masuk ke dalam PAS melalui pintu Tarbiyah, iaitu mereka yang mengikuti usrah dan sebagainya. Mereka ini boleh dibentuk pemikirannya bahkan memang golongan inilah yang mencorakkan perjuangan PAS. Tetapi jangan lupa, sebagai sebuah parti politik, sebahagian ahli PAS adalah mereka yang masuk ke dalam PAS melalui pintu politik. Mereka masuk kerana kesedaran politik. Mereka mungkin pemandu lori, peniaga, buruh kasar, mungkin juga seorang pensyarah dan profesor tetapi mereka disatukan oleh suatu kesedaran tentang jeleknya kezaliman dan penindasan mereka yang menindas di negara kita.
Apakah mereka ini solat lima waktu? Apakah mereka ini khatam Quran setahun sekali? Apakah mereka ini membaca al-Mathurat? Apakah mereka ini semuanya jelas tentang garis pembeda di antara manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah, Syiah, Khawarij dan Murjiah dan Muktazilah? Usahkan saya, Presiden PAS pun sulit mahu menjawabnya. Inilah realitinya, kesan membuka keahlian kepada semua, kerana PAS percaya, penyertaan orang ramai tanpa batas ke dalam PAS atas kesepakatan mereka kepada prinsip yang PAS perjuangkan, adalah satu langkah penting ke arah memperbaiki kehidupan mereka, dan kehidupan Malaysia sebagai sebuah negara.
PAS tidak seperti ABIM atau JIM atau ‘Geng Sunnah yang menarik’ satu jenis keahlian. Orang-orang JIM, ABIM, dan pengikut Dr Maza mempunyai wavelength yang dekat, dan lebih mudah dididik. Ia suatu kelebihan, tetapi ia mungkin tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat. It’s an alternate reality!
Ketika Dr Maza mengkritik PAS, dan kritikannya menjadi ikutan kepada geng Sunnah pula untuk turut sama mengkritik PAS, Dr Maza tahu akan semua realiti di dalam PAS ini.
Maka seruan saya ialah supaya beliau jangan tersilap dengan membayangkan kritikannya kepada PAS adalah kritikannya kepada satu dua tiga atau empat orang pimpinan PAS yang tidak senang dengannya dan dia tidak senang dengan mereka. Tetapi apabila Dr. Maza mengkritik PAS, dia mengkritik 800,000 manusia yang pelbagai kepala, pelbagai taraf pendidikan dan pelbagai ragam.
Jangan campak mancis ke lubuk minyak.
Teguran yang baik adalah amat berguna untuk PAS. Tak ada sekelumit pun di fikiran saya untuk menafikan kelemahan-kelemahan PAS. Bahkan saya bukan di posisi untuk mempertahankan PAS kerana siapalah saya ini? Tetapi teguran menyindir dan seolah-olah tidak faham kepada apa yang ada di dalam PAS menjadikan usaha membawa manhaj tajdid ke dalam PAS hampir mustahil!
Dr Maza yang menyulitkan PAS untuk menerima perjuangannya. Jika Dr Maza yakin manhaj yang dibawanya adalah sesuatu yang baik, tidakkah dia terfikir yang 800 ribu ahli PAS juga patut menerima manhaj yang beliau bawa?
Kita semua tahu, selama ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan lain-lain pemimpin utama PAS, mereka juga berpegang dengan manhaj yang sama dengan Dr Maza. Tuan Guru Nik Aziz sedikit demi sedikit cuba memperkenalkan kitab Fiqh Sunnah kepada ahli PAS dan orang Kelantan, untuk menyuntik sedikit idea pemurnian mazhab ke masyarakat. Tetapi kehadiran Dr Maza dengan pandangan-pandangannya yang sering sinis kepada PAS memusnahkan segala-galanya. Akhirnya peminat dia tepu Salaf, dan PAS kelihatan sebagai kem khalaf! Apakah manfaat dari semua ini? Jika Dr. Maza lihat orang PAS semakin benci dengan geng Sunnah, jangan salahkan sesiapa, muhasabah balik apa yang beliau sebagai ikon salafi buat kepada PAS. Betapa banyak usaha tuan-tuan guru sebelum ini yang musnah akibat penyemaian benih perbalahan yang ditabur.
Dan semua ini berlaku dalam keadaan Dr Maza bukannnya jahil terhadap apa itu PAS.
Jika bantahan saya ini dinamakan marah, maka saya marah kepada Dr. Maza bukan sebab saya PAS, tetapi sebab saya bermanhaj salaf seperti Dr Maza. Dan pendekatannya menyulitkan penerimaan manhaj Salaf ini di dalam PAS. So, ia bukan isu jemaah centric atau taasub parti atau apa-apa yang seumpama dengannya.
Faisal Tehrani, saya tidak rasa beliau mewakili apa-apa yang bernama PAS. Beliau menulis di blognya sendiri bahawa beliau non partisan, maka treat him as himself, without any association with PAS.
Saya tidak pernah menulis seterang ini.
Moga ada kebaikan, ameen.

Abu Hurairah Al-Malizi
Salam Saifulislam,
Barakallah fik.
Saya tidak tahu Dr MAZA dulu PAS, tetapi masih berpandangan dia seorang alim, dan secara peribadi menganggap dia lebih luas dari segi ilmu dan pemikiran daripada kedua-dua Syaikhain PAS, serta para ulama lain. Pengetahuan agama kita masih cetek, mungkin sebab itu tidak dapat menghayati dengan baik pandangan-pandangannya.
Kealiman tidak diukur dari segi umur, Ibnu Taimiah pada usia belasan tahun lagi lebih alim daripada para ulama sezamannya.
Dr MAZA mungkin sudah bosan dengan ulama-ulama PAS yang jumud dalam berdakwah, yang hanya pentingkan hudud dan mengetepikan soal-soal lain yang lebih afdal buat masa ini.
Kalau saudara ada pengalaman berdakwah dengan bukan Islam secara praktikal atau dengan yang Islam tetapi jauh daripada Islam, saudara akan lebih memahami buah pemikiran Dr MAZA.
Namun dia bukan maksum, dan saya sendiri akan tegur dia bila berhubung dengan dia nanti.
Saya akan tulis artikel tentang Fokus utama yang sepatutnya buat Gerakan Islam iaitu menjadi Tawhid-centric lebih dulu daripada menjadi Ummah-centric atau Jamaah-centric. Insyaallah akan terbitkan di www.abu-hurairah-al-malizi.blogspot.com
I feel the need to raise mistakes made even by Imam Al-Banna and Syed Qutb and their divergence from way of the salaf. They are forgiven Insyaallah for making ijtihad, and perhaps the truth did not reach them. However their mistakes need to be clarified for us to learn.
Saya pernah terlibat juga dengan IRC dan PAS, tetapi lebih banyak dengan Muslim Association of Britain, saf Al-Ikhwan di sana , selama hampir 10 tahun di UK . Dan rapat juga dengan anak-anak murid Syeikh Rabi dan Syeikh Muqbil, para ulama 'Traditionalist salafis' yang tsiqah.
Sila lawat www.the-muslim-brotherhood.blogspot.com
'Teguran' ikhlas saya untuk Al-Ikhwan amnya, Arab dan bukan Arab supaya menjadi lebih Sunnatik dan komprehensif, serta maju dari segi-segi bisnes, sains dan teknologi. Teguran daripada yang pernah berada dalam Al-Ikhwan.
Faisal Tehrani orang kuat PAS semasa dia di KISAS dulu, dan saya 'junior' dia. Bagus dia isytiharkan dirinya 'non-partisan', tetapi pada masa yang sama PAS perlu 'monitor' pendapat-pendapat dia supaya tidak ambil kesempatan menyebarkan fikrah Syiah di dalam Harakah Daily umpamanya.
Ustaz Abdul Hadi dan Ustaz Nik Aziz agak lembut dengan Syiah, itu kelemahan yang perlu diperbaiki. Kalau Ibnu Taimiah masih hidup, saya yakin dia akan perangi Iran dulu sebelum Amerika dan Israel , sebagaimana Salahuddin menghancurkan Fatimiah dulu sebelum Salibiah.
Sila tunggu buku saya:
www.menantiimamke-12online.webs.com
Harap kita dapat bersemuka suatu hari nanti.
Perlu dibuat sesuatu tentang para pengikut PAS yang 800 000 itu, apabila dibiarkan saya khuatir akan jadi musibah kepada bukan Islam atau mereka yang jahil tentang Islam.
May Allah accept your good deeds and make you a scholar fighting on His way, and be a proof to People of Innovations!
Uhibbuk fillah Akhi Saifulislam!